Wednesday 12 September 2012

Kuntuman Mawar Agama

 
seorang gadis itu ...

boleh seteguh Khadijah, yang suci hatinya,

tabah & tenang sikapnya, teman ar-Rasul,

pengubat duka & laranya ... bijaksana ia,

menyimpan ílmu, si teman bicara,

dialah Áishah, penyeri taman Rasulullah 
 
dialah Hafsah, penyimpan mashaf pertama kalamullah ...


seorang gadis itu ...

boleh setabah Maryam,

meski dicaci meski dikeji,

itu hanya cerca manusia,

namun sucinya ALLah memuji ...

seperti Fatimah kudusnya,

meniti hidup seadanya,

puteri Rasulullah ... kesayangan ayahanda,

suaminya si panglima agama,

di belakangnya dialah pelita,

cahaya penerang segenap rumahnya,

ummi tersayang cucunda Baginda ...  dia segagah Nailah,

dengan dua tangan tegar melindung khalifah,

meski akhirnya bermandi darah,

meski akhirnya khalifah rebah,

syahid menyahut panggilan Allah..
 
~moga menjadi kuntuman mawar agama yang sentiasa mekar dengan semangat Jihad di jalan NYA~ 

Monday 13 August 2012

Muhasabah Ramadan





Assalamualaikum pembuka bicara, syukur alhamdulillah ke hadrat NYA kerana masih diberi peluang, untuk bernafas di bulan Ramadan Kareem yang tanpa kita sedari bakal meninggalkan kita semua tidak lama lagi. Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah S.a.w  jua buat para sahabat baginda yang berjuang bersama baginda menegakkan agama ALLAH, agama yang kita amalkan sehingga ke hari ini. 

Hati terpanggil untuk menulis sedikit coretan di ruang maya ini setelah beberapa bulan meninggalkan teratak maya ini, doakan ana, moga ALLAH memberikan kekuatan untuk ana terus melangkah di Jalan NYA, moga istiqamah dan keikhlasan hati menjadi perisai untuk menghadapi setiap dugaan NYA dengan penuh sabar. 

Pejam celik, pejam celik, Ramadan bakal pergi meninggalkan kita, dan kita berada semakin hampir ke penghujung pintu gerbang madrasah. Hati bermonolog sendiri, adakah ramadan kali ini diisi dengan sepenuhnya, atau sekadar menahan lapar dan dahaga?? Adakah cukup amalan yang dilakukan di bulan Tarbiyah ini? Sama-sama kita renungkan, muhasabah Ramadan. 

Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan:

“Aku bertanya Rasulullah s.a.w.; ‘Ya Rasulullah, jika aku menemui lailatul-Qadar (malam al-Qadar) apakah doa paling baik untuk aku ucapkan?’ Jawab Rasulullah; ‘Kamu bacalah doa (yg bermaksud); “Ya Allah, ya Tuhanku! Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang maha pemaaf. Engkau suka memaafkan (dosa hamba-hamba-Mu). Maka maafkanlah daku (yakni ampunkanlah dosa-dosaku).” (Riwayat Imam at-Tirmizi)



Nabi Muhammad s.a.w juga pernah bersabda:

“Permulaan Ramadan itu adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan (maghrifah) dan penghujungnya adalah kebebasan dari api neraka”

Kita sekarang berada di fasa terakhir Ramadan dan 10 malam akhir Ramadan ini adalah fasa pembebasan daripada api neraka dan “puasa itu adalah perisai” yang menghalang pelakunya daripada memasuki neraka. Seperti yang kita maklum, di 10 malam terakhir ini juga terdapat 1 malam yang sangat istimewa iaitu malam Lailatul Qadar.

Subhanallah. .Hanya ibadah puasa Ramadan yang dipecahkan kepada 3 bahagian iaitu fasa rahmat, keampunan dan kemerdekaan daripada neraka semata-mata kerana Allah s.w.t. ingin membesarkan pahala Ramadan. Semoga kita dapat memanfaatkan setiap fasa yang telah kita lalui sepanjang Ramadan tahun ini.

Sahabat yang ku kasihi kerana Allah, marilah kita tingkatkan dan tambahkan ibadat di 10 akhir Ramadan. Bersamalah kita mengisikan 10 hari terakhir ini dengan melebihkan ketakwaan. Mari perkemaskan ibadah puasa di 10 hari terakhir ini dan tutuplah segala pintu kecuaian dan kelalaian yang berlaku dalam puasa 20 hari yang lepas dengan menambahkan amalan-amalan sunat selain amalan fardu seperti solat,  bersedekah dan membaca Al-quran. Bersamalah kita menggandakan pahala di fasa terakhir Ramadan. Moga kita dipertemukan dengan Ramadan akan datang. Pesanan buat diri dan sahabat fillah.
Bakal merinduimu Ramadan~